Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Abi
Sekolah Kebangsaan Abi ditubuhkan pada tahun 1911. Pengasas sekolah ini ialah En. Ismail B. Che Tam yang kemudiannya bergelar Datuk Setia Bakti Diraja. Keseluruhan bangunan pada peringkat permulaannya adalah diperbuat daripada kayu manakala Pelajaran Jawi dijadikan sebagai bahasa penghantar. Semua murid menggunakan papan batu dan kalam ketika menulis latihan yang diberikan pentadbiran sekolah ini. Kerajaan telah mengambil alih pada tahun 1913 dan sekarang sekolah ini telah dinaiktaraf dan banyak bangunan dan blok baru dibina.
Sekolah Menengah Kebangsaan Abi
Ditubuhkan pada 16 Disember 1999 atas nama Sekolah Menengah Kebangsaan Abi pada mulanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Abi, diterajui oleh En Wabdi bin Ahmad memangku pengetua. Pada peringkat awal penubuhannya, 17 Januari 2000 sekolah ini mempunyai seramai 15 orang tenaga pengajar dan tiga orang kakitangan pejabat. Jumlah pelajar adalah seramai 130 orang iaitu tingkatan 1 (3 kelas), tingkatan 2 (2 kelas) disusuli dengan pendaftaran murid tingkatan 4 (2 kelas) pada 3 februari 2000. Pada 28 Mac 2000, Koperasi SMK Abi berhad ditubuhkan. Pengetua pertama Tn Hj Azizan bin Talib melapor diri pada 8 Jun 2000. Ini diikuti dengan penubuhan PIBG pada 31 Julai 2000. Pada 1 Januari 2001, SMK Abi telah berpindah ke bangunan sendiri. Tenaga pengajar telah bertambah kepada 28 orang dan staf bukan akademik menjadi 6 orang. Jumlah murid meningkat kepada 400 orang dan jumlah kelas menjadi 11 kelas terdiri daripada 4 kelas tingkatan 1, 3 kelas tingkatan 2, 2 kelas tingkatan 3, tingkatan 4 dan 5 masing-masing 2 kelas. Pada 23 Mei 2001, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah mencemar duli berangkat merasmikan SMK Abi. Pada 16 Oktober 2001, En Wabdi bin Ahmad telah dilantik menjadi pengetua SMK Abi setelah Tn Hj Azizan bertukar ke SMK Syed Alwi. Pada 1 Januari 2004, asrama sekolah telah siap dibina dan buat pertama kali menempatkan seramai 150 orang penghuni. Pada bulan Disember 2005 En Wabdi pula bertukar ke SMK Tengku Suleiman dan tempat beliau diganti oleh Datin Che Sham bt Hashim.
Sekolah Kebangsaan Padang Kota
Sekolah asal ini dinamakan Sekolah Melayu Kurong Batang dan guru besar yang pertama ialah Encik Senapi bin Abdullah .Enrolmen murid ketika itu ialah seramai 81 orang yang terdiri daripada 49 lelaki dan 32 perempuan. Kebanyakan murid yang masuk ke tahun satu bersaiz besar dan umurnya lebih daripada yang sepatutnya. Tahun berikutnya murid-murid daripada sekolah lain telah berpindah ke sekolah ini serta kelas tahun dua, tiga dan empat diwujudkan. Pada tahun 1950 kerajaan telah membina sebuah sekolah baru di atas sebidang tanah kerajaan, Lot 605 seluas 5 relong 22 jemba di Kampong Tok Semei . Ianya terletak kira-kira 2km dari bangunan asal dan siap pada 27 Mac 1951. Ukuran panjang sekolah ialah 130 kaki dan lebarnya 20 kaki dengan sebuah rumah guru. Guru Besar yang dilantik ketika itu ialah Encik Sudin bin Arshad. Pada ketika itu, sekolah ini sering dilawati oleh pegawai-pegawai pejabat Pelajaran Perlis untuk menyelia proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kemudian pada tahun 1957, sekolah ini ditukarkan kepada nama SEKOLAH UMUM KURONG BATANG. Pada tahun 1959 sekolah ini sekali lagi ditukar namanya menjadi SEKOLAH KEBANGSAAN KURONG BATANG. Di antara rekod sejarah, sekolah ini pernah dilawati oleh Yang Berbahagia Tuan Hj. Hamdan bin Tahir yang ketika itu menjadi Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia. Pada tahun 1971 sebuah bangunan gantian telah dibina yang mengandungi lima bilik darjah, Pejabat Guru Besar, tandas dan kantin. Ianya dirasmikan oleh YAB En. Jaafar bin Hassan, PJK, JP, Menteri Perlis pada 23 Ogos 1972. Pada ketika ini, murid-muridnya seramai 245 orang. Sekali lagi nama sekolah diubah menjadi SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG KOTA dan kekal sehingga ke hari ini.