Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Hutan Lipur Bukit Ayer
Bukit Ayer terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis. Bersesuaian dengan kesegaran persekitaran dan kesuburan tumbuhan hijau serta kedinginan air terjun, Bukit Ayer lengkap untuk dijadikan tarikan kepada sesiapa yang sememangnya cintakan alam semulajadi. Ia merupakan tempat yang paling baik untuk pengunjung sekeluarga menjalankan aktiviti perkemahan serta berkelah di sini. Disamping itu juga terdapat kemudahan awam disediakan bagi memudahkan pengunjung yang berkunjung ke sini.
Hutan Lipur Bukit Ayer terletak 12 km dari Bandar Kangar. Beberapa kemudahan disediakan untuk seperti pusat penerangan, chalet, tapak perkemahan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan tempat letak kereta. Air terjun dan sungai yang mengalir jernih secara semulajadi mengindahkan suasana. Pada bahagian hilirnya pula terdapat sebuah kolam mandi yang cantik untuk para pengunjung. Di sini juga dikhaskan tapak perkhemahan yang menampung kira-kira 100 orang peserta dilengkapi dengan tempat memasak dan sumber air yang bersih. Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak terdapat denai yang boleh digunakan bagi tujuan tersebut. Disini juga terdapat tempat permainan kanak-kanak, gerai makanan, bilik air, surau dan pondok-pondok rehat.
Taman Ular Dan Reptilia
Terletak tidak jauh dari Pusat Internet 1 Malaysia Pokok Jawi, iaitu kira-kira dua kilometer terdapat sebuah Taman Ular dan Reptilia. Taman Ular ini pada mulanya merupakan sebuah institut penyelidikan untuk mengkaji pengeluaran pencegah antivenom pada 1978. Kawasan ini dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Bintang. Ia beralih tangan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis dan dijadikan sebagai destinasi pelancongan pada tahun 1995. Taman Ular dan Reptilia ini dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada tanggal 3 Mei 1981. Taman Ular dan Reptilia ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records kerana ia merupakan taman ular terbesar seumpamanya di Malaysia. Ia mempunyai 54 spesies ular dari dalam dan luar negara. Jumlah ular yang terdapat di sini ialah sebanyak 280 ekor. Selain daripada ular, terdapat juga haiwan-haiwan lain seperti memerang, biawak dan kura-kura. Untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara, terdapat pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Taman Ular dan Reptilia ini seperti sesi bergambar dengan ular dan juga perkhidmatan kereta api dari Taman Ular dan Reptilia hingga ke Bukit Ayer.
Kolam Aqua Berangan Enterprise (ABE)
Kolam Aqua Berangan Enterprise (ABE) merupakan sebuah tempat rekreasi yang menjalankan aktiviti memancing ikan. Terletak kira-kira 3km dari Pusat Internet 1 Malaysia Pokok Jawi dan kira-kira 12 km dari Bandar Kangar. Kawasan kolam tersebut amat cantik dan menarik kerana dikelilingi bukit-bukau. Terdapat 3 kolam besar di Kolam ABE untuk aktiviti memancing. Terdapat pelbagai kemudahan seperti surau, kedai makan dan sebagainya. Ia menjadi tarikan kepada penduduk tempatan dan luar untuk berekreasi.